Skip to main content
Topik

Bantuan Berhubung Penggunaan Bahan

Bantuan untuk komuniti kita

Di TikTok, kami komited dalam memupuk persekitaran yang saling membantu supaya komuniti kita berasa selamat untuk meluahkan tentang diri mereka. Ini termasuklah komuniti pengguna yang semakin berkembang dalam memanfaatkan peluang yang disediakan oleh TikTok untuk berhubung, membantu dan mengambil pengajaran daripada organisasi dan rakan sebaya yang pernah terlibat dengan penggunaan bahan (termasuk dadah, alkohol dan tembakau).

Kami sedar bahawa setiap orang mempunyai kepercayaan dan pengalaman masing-masing dalam penggunaan bahan. Biar apa pun pengalaman anda, kami ingin menawarkan maklumat untuk membantu agar komuniti kita selamat dan membantu anda membuat pilihan yang lebih selamat. Oleh sebab itu, kami telah bekerjasama dengan pakar dalam perkara tersebut untuk membantu kami menyediakan sumber ini.

Sumber ini adalah untuk semua orang:

  • mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang cara penggunaan bahan dapat menjejaskan fikiran, tubuh dan tingkah laku;
  • mereka yang mungkin terfikir untuk menggunakan bahan atau sedang menggunakan bahan;
  • mereka yang mencari sumber tentang cara untuk mengubah hubungan mereka dengan penggunaan bahan;
  • mereka yang mengambil berat tentang seseorang yang terkesan akibat penggunaan bahan;
  • mereka yang mencari komuniti yang bersifat membantu untuk mereka berkongsi pengalaman, atau
  • mereka yang ingin melibatkan diri dengan dialog tentang kemudaratan yang berkaitan dengan penggunaan bahan

Penggunaan bahan mungkin sukar untuk dibincangkan. Kami berharap agar sumber dan maklumat pada halaman ini dapat membantu anda dan orang yang tersayang.

Perkara yang mungkin anda ingin tahu

Penggunaan bahan merujuk pada penggunaan jenis bahan yang berlainan, seperti dadah, alkohol, atau tembakau. Terdapat banyak cara orang menggunakan bahan, daripada secara suka-suka kepada penggunaan yang kerap, sehingga menimbulkan ketagihan terhadap sesuatu bahan (juga dikenali sebagai penyalahgunaan bahan). Baca lebih lanjut tentang jenis penggunaan bahan yang berlainan di bawah.

Eksperimen

Kadangkala orang bereksperimen dengan bahan apabila berada dalam situasi tertentu, misalnya parti. Mereka biasanya tidak inginkan bahan itu atau terfikir tentang bahan itu sehinggalah pada saat mereka akan menggunakan bahan tersebut. Mereka mungkin menggunakan bahan itu atas dasar ingin tahu atau untuk bergembira. Kehidupan mereka tidak berkisar pada penggunaan bahan tersebut – penggunaan itu hanya berlaku mengikut kesesuaian masa.

Penggunaan Rekreasi

Penggunaan sebegini boleh berlaku apabila seseorang kerap menggunakan sesuatu bahan yang selain bagi tujuan perubatan. Penggunaan bahan mungkin merupakan sebahagian rutin dalam hidup mereka – seperti meminum alkohol pada setiap hujung minggu sebelum keluar.

Penyalahgunaan

Ini berlaku apabila penggunaan bahan seseorang itu menjadi lebih berisiko dan lebih kerap, dan mereka kerap mengalami kesan negatif dalam kehidupan disebabkan oleh penggunaan bahan tersebut. Orang yang menyalahgunakan sesuatu bahan akan meneruskan penggunaan bahan itu, walaupun penggunaan tersebut mendatangkan masalah dalam kehidupan mereka. Pada masa ini, rakan atau ahli keluarga boleh menasihati mereka berkenaan penggunaan bahan tersebut.

Pergantungan

Pergantungan kepada dadah berlaku apabila tubuh seseorang telah disesuaikan dengan sesuatu bahan. Ini bermaksud tubuhnya memerlukan bahan itu untuk berasa “normal”. Tindakan menghentikan penggunaan bahan itu akan menyebabkan simptom penarikan, seperti kelesuan, keresahan/kemurungan, berpeluh, muntah, sawan atau halusinasi. Pergantungan boleh berlaku dengan sesetengah bahan walaupun semasa digunakan menurut preskripsi doktor.

Ketagihan

Apabila seseorang mengalami ketagihan, mereka akan meneruskan penggunaan sesuatu bahan walaupun perkara itu memudaratkan diri mereka dan orang lain. Mereka mungkin pernah cuba berhenti, tetapi keinginan dan penarikan yang dialami adalah terlalu kuat untuk diatasi. Ketagihan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Ketagihan bukanlah satu pilihan, sebaliknya keadaan yang boleh dirawat dan terdapat pelbagai pilihan rawatan berdasarkan keperluan khusus seseorang. Ketagihan tidak bermaksud seseorang itu kurang berdisiplin, tetapi ini merupakan suatu keadaan.

Tiada sesiapa yang mengetahui dengan pasti tentang kesan dadah ke atas diri mereka. Akan tetapi, sejak kebelakangan ini, jenis dadah itu sendiri semakin sukar untuk dikenal pasti. Dua sebab utama bagi masalah ini ialah fentanil dan dadah palsu.

  • Fentanil sejenis dadah opioid sintetik yang kuat. Terdapat 2 jenis Fentanil: 1) gred farmaseutikal (yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal untuk mengawal dos) dan, 2) Fentanil “haram”, yang dihasilkan oleh orang yang menjual atau mengedar dadah di luar mana-mana penggunaan farmaseutikal yang dikawal. Fentanyl haram kadangkala ditambahkan ke dalam dadah lain secara senyap-senyap kerana dadah itu lebih murah untuk dihasilkan dan lebih kuat berbanding dengan banyak jenis dadah lain. Fentanil telah ditambahkan ke dalam pil palsu (yang kelihatan seperti ubat penghilang kesakitan opioid preskripsi tetapi dihasilkan oleh mereka yang menjual dadah haram), atau dicampurkan dengan dadah seperti heroin, kokain dan methamphetamine. Fentanil pada kadar 2 miligram boleh membunuh seseorang, iaitu amaun yang bersamaan dengan beberapa butir garam. Atas sebab inilah, fentanil merupakan punca utama kematian akibat pengambilan dos dadah secara berlebihan. Sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kerana dengan sekali tersilap langkah, maut padahnya.
  • Pil palsu atau tiruan seperti benzodiazepine (yang sering dipanggil sebagai “street benzos”) telah didapati sebagai terlalu kuat dan/atau mengandungi bahan lain yang sangat memudaratkan dan berbahaya yang bukan untuk tujuan perubatan, hingga membawa kepada perlunya mendapatkan rawatan di hospital dan kematian.

Anda mungkin pernah mendengar istilah “pengurangan mudarat”. Frasa ini menerangkan tentang pendekatan yang mengurangkan risiko yang berkaitan dengan penggunaan dadah. Pengurangan mudarat bukan bermaksud bahawa dadah boleh digunakan atau penggunaan dadah itu selamat. Ini merupakan cara melindungi dan membantu orang yang menggunakan dadah dan menggalakkan perubahan yang positif tanpa sebarang penilaian.

Beberapa contoh pengurangan mudarat:

  • Ubat seperti naloxone, yang membalikkan kesan pengambilan dos opioid secara berlebihan dengan cepat, dan ubat lain yang boleh merawat ketagihan opioid;
  • Akses kepada bekalan yang lebih selamat dan cara yang selamat untuk melupuskan bahan, dan pengujian untuk penyakit yang boleh tersebar melalui penggunaan jenis dadah tertentu.

Pemulihan ialah proses untuk seseorang itu menambah baik kesejahteraan dirinya secara keseluruhan selepas mengalami masalah dengan penggunaan bahan. Terdapat banyak jalan ke arah pemulihan, dan ini merupakan proses yang unik bagi setiap orang. Pemulihan juga mungkin membawa maksud yang berbeza kepada berlainan orang. Bagi sesetengah orang, abstinens daripada semua bahan ialah kuncinya. Bagi yang lain pula, tindakan menangani perasaan negatif tanpa menggunakan bahan ialah cara pemulihan yang lebih penting.

Perlu diingat, pemulihan bukanlah satu proses yang linear. Seringkali penagih akan kembali kepada penggunaan bahan semasa dalam proses menuju ke arah pemulihan. Ini tidak bermaksud mereka telah gagal atau tidak akan dapat mencapai matlamat mereka untuk pulih. Semua orang mampu untuk pulih.

Stigma ialah kumpulan sikap negatif, ketakutan, tanggapan salah dan stereotaip tentang orang yang menggunakan dadah atau hidup bersama ketagihan. Stigma ialah salah satu sebab utama orang tidak mendapatkan rawatan bagi masalah penggunaan bahan mereka. Semua orang berperanan dalam mengurangkan stigma penggunaan bahan. Salah satu caranya adalah dengan mengubah cara kita berbicara tentang penggunaan bahan.

Di TikTok, kami menggunakan sesuatu yang dipanggil “Bahasa Mengutamakan Oranguntuk hal berkaitan penggunaan bahan. Ini bermaksud kami tidak mentakrifkan seseorang berdasarkan tingkah laku atau diagnosis. Misalnya, kami akan memanggil seseorang itu sebagai “orang yang menggunakan dadah” dan bukannya “pengguna dadah”. Bahasa mengutamakan orang tidak bersifat menilai dan melayan orang yang mengalami ketagihan dengan rasa hormat dan empati. Penggunaan bahasa mengutamakan orang ialah langkah yang penting dalam mengurangkan stigma terhadap penggunaan bahan.

Berikut ialah beberapa contoh cara untuk menukar pilihan perkataan bagi membantu dalam mengurangkan stigma terhadap penggunaan bahan.

Jangan gunakanSebaliknya gunakan
Penyalahgunaan dadahMasalah penggunaan bahan
Pengguna dadahOrang yang menggunakan dadah
Penagih, Penyalahguna dadahOrang yang hidup dengan ketagihan atau mengalami ketagihan; Orang yang mempunyai masalah penggunaan bahan
Bekas penagihOrang yang sedang menjalani pemulihan
Penagih alkoholOrang yang mengalami masalah pengambilan alkohol; Orang yang mengambil alkohol dengan cara yang berbahaya
Tidak mabuk / BersihBebas bahan; Orang yang sedang menjalani pemulihan/abstinens
Kekal bersihMeneruskan pemulihan

Dos berlebihan berlaku apabila seseorang mengambil sesuatu bahan dengan terlalu banyak. Dos berlebihan boleh membawa maut. Jika anda percaya seseorang sedang mengalami masalah dos berlebihan, hubungi khidmat kecemasan dengan serta-merta. Banyak negara yang mempunyai undang-undang “Samaritan” yang menyediakan perlindungan terhadap penahanan, pertuduhan, atau pendakwaan kerana memiliki dadah atau perlengkapan apabila individu yang mengalami atau menyaksikan insiden dos berlebihan menghubungi khidmat kecemasan.

Simptom dos berlebihan berbeza-beza bergantung pada bahan, tetapi boleh merangkumi:

  • Wajah yang sangat pucat dan/atau berlengas
  • Tubuh tidak bermaya atau sangat lemah
  • Kuku atau bibir yang berwarna ungu/biru
  • Muntah berlebihan
  • Tidak sedar atau tidak dapat bangun atau bertutur
  • Tiada pernafasan atau sangat perlahan
    • Pernafasan yang lebih cepat (untuk perangsang seperti kokain & meth)
  • Kadar denyut jantung yang perlahan atau tiada nadi
    • Kadar denyut jantung yang cepat atau tidak sekata (untuk perangsang seperti kokain & meth)
  • Bunyi tercekik atau membuak
  • Suhu tubuh yang rendah
    • Demam (untuk perangsang seperti kokain & meth)
  • Sakit perut yang amat sangat
  • Sawan
  • Pupil bintik halus

Jika sempat ditangani, insiden dos opioid berlebihan boleh dibalikkan dengan ubat yang dipanggil naloxone (dijual di bawah nama jenama Narcan, Evzio atau Kloxxado), ubat penyelamat nyawa yang mengurangkan kesan opioid dalam tubuh sekiranya berlaku insiden dos berlebihan. Di banyak negara, naloxone boleh dibeli di farmasi tanpa preskripsi atau diperoleh secara percuma daripada organisasi kesihatan awam.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tindakan yang perlu diambil apabila anda percaya seseorang sedang mengalami dos berlebihan, lihat Talk to Frank.

Anda perlu sentiasa berhati-hati dengan maklumat yang anda temukan dalam talian berkenaan penggunaan bahan, termasuk di TikTok. Orang berkongsi banyak pendapat tentang penggunaan bahan, dan sesetengah pendapat itu mungkin tidak berlandaskan fakta. Anda perlu sentiasa menyemak maklumat yang anda lihat dalam talian. Pada halaman ini, anda akan menemukan fakta tentang jenis bahan yang lazim, dan pautan kepada sumber untuk anda mendapatkan maklumat yang lebih lanjut.

Kami menyediakan fakta supaya anda mempunyai maklumat yang berwibawa tentang jenis bahan yang berbeza, termasuk dadah dan alkohol. Kami akan berkongsi beberapa fakta tentang bahan lazim yang mungkin anda pernah dengar, termasuklah nama, kesan, dan risiko yang berkaitan dengan setiap satu.Pada halaman ini, kami akan menggunakan nama formal untuk merujuk setiap bahan, tetapi bahan tersebut juga sering dikenali dengan “nama jalanan” yang berlainan.

Apakah itu opioid? Opioid ialah dadah yang boleh memberi kesan menghilangkan kesakitan yang kuat pada minda dan tubuh. Terdapat pelbagai jenis opioid, termasuklah:

  • Opioid preskripsi penghilang kesakitan: Disediakan dalam bentuk pil atau tablet, seperti oxycodone dan hydrocodone
  • Heroin: Dadah opioid haram yang diperoleh daripada morfin yang boleh dihisap, disuntik atau disedut. Opioid preskripsi dan heroin adalah serupa dari segi struktur. Dengan mengikat kepada saraf penerima dalam otak yang menghilangkan kesakitan, opioid preskripsi dan juga heroin memberikan perasaan euforia yang sama.
  • Fentanil: Fentanil boleh dipreskripsikan kepada pesakit yang mengalami kesakitan yang teruk atau pesakit dengan kesakitan yang kronik yang tolerans terhadap opioid yang lain. Terdapat 2 jenis Fentanil:
    • 1) gred farmaseutikal (dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal untuk mengawal dos) dan,
    • 2) fentanil “haram”, yang dihasilkan oleh orang yang menjual atau mengedar dadah di luar mana-mana penggunaan farmaseutikal yang dikawal.
    • Fentanil haram kadang-kadang ditambahkan ke dalam pil palsu secara senyap-senyap (yang kelihatan seperti ubat penghilang kesakitan opioid preskripsi tetapi dihasilkan oleh mereka yang menjual dadah haram), atau dicampurkan dengan dadah seperti heroin, kokain dan methamphetamine.
    • Fentanil pada kadar 2 miligram boleh membunuh seseorang, iaitu amaun yang bersamaan dengan beberapa butir garam. Atas sebab inilah, fentanil merupakan punca utama kematian akibat pengambilan dos dadah secara berlebihan.
  • Codeine: Kebiasaannya dipreskripsikan sebagai sirap batuk, tetapi juga boleh dihasilkan dalam bentuk tablet. Codeine lebih lemah daripada opioid tetapi memberi kesan kepada otak dengan cara yang sama.
  • Morfin: Kebiasaannya diberikan di hospital secara intravena. Morfin boleh diambil dalam bentuk tablet, tampalan atau supositori apabila dipreskripsikan kepada pesakit untuk dibawa pulang.

Apakah risikonya? Insiden dos opioid yang berlebihan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja – walaupun pada pengambilan buat kali pertama, atau jika dipreskripsikan oleh doktor atau diperoleh secara haram. Bagi bahan yang dibeli secara haram, terdapat risiko bahan itu mengandungi fentanil haram, yang merupakan punca utama kematian akibat dos berlebihan di Amerika Syarikat. Risiko dos berlebihan meningkat apabila opioid diambil bersama dadah lain yang melambatkan nadi dan pernafasan seseorang, seperti alkohol, depresan preskripsi, atau opioid lain. Seseorang yang mengalami insiden dos opioid yang berlebihan mungkin menunjukkan simptom berikut:

  • Wajah yang sangat pucat dan/atau berlengas
  • Tubuh yang tidak bermaya
  • Kuku atau bibir yang berwarna ungu/biru
  • Muntah
  • Tidak sedar atau tidak dapat bangun atau bertutur
  • Tiada pernafasan atau sangat perlahan
  • Kadar denyut jantung yang perlahan atau tiada nadi
  • Pupil bintik halus

Naloxone ialah ubat penyelamat nyawa yang mengurangkan kesan opioid sekiranya berlaku insiden dos berlebihan. Di banyak negara, naloxone boleh dibeli di farmasi dan tanpa preskripsi. Naloxone disediakan dalam bentuk semburan hidung atau ubat yang boleh disuntik. Selepas memberikan naloxone kepada seseorang, hubungi khidmat kecemasan dengan serta-merta, kerana ubat itu hanya bertahan antara 30-90 minit. Jika tiada respons dalam masa 3 minit selepas diberikan naloxone—misalnya orang itu masih tidak sedar—berikan dos yang kedua. Tunggu bersama orang itu sehingga bantuan tiba.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek penggunaan opioid termasuklah kehilangan kesakitan, mengantuk, rasa loya, sembelit, euforia, pernafasan yang perlahan, dan kematian akibat dos berlebihan. Bagi sesetengah orang, penggunaan opioid yang kerap boleh membawa kepada ketagihan. Kesan jangka panjang boleh merangkumi terhasilnya pergantungan, kejang perut, penyakit hati atau buah pinggang, dan jangkitan atau kecederaan yang berkaitan dengan penggunaan jarum.

Apakah itu alkohol? Alkohol dihasilkan daripada penapaian yis, gula dan kanji. Alkohol ialah dadah yang paling biasa digunakan di dunia. Terdapat banyak jenis alkohol, termasuklah bir, wain, atau arak (seperti vodka, tequila, rum, gin, dan wiski, antaranya). Alkohol juga ditemukan dalam jenis minuman yang lain seperti seltzer keras, teh keras, atau kombucha tinggi alkohol.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos alkohol yang berlebihan (dipanggil keracunan alkohol). Orang yang tidak sedar atau tidak dapat dibangunkan mungkin mengalami keracunan alkohol dan berisiko menghadapi maut. Jika anda mengesyaki seseorang mengalami keracunan alkohol, hubungi khidmat kecemasan dengan serta-merta. Petanda keracunan alkohol adalah termasuk:

  • Kebingungan
  • Muntah berlebihan
  • Sawan
  • Pernafasan yang perlahan atau tidak sekata
  • Kulit berona biru atau kulit yang pucat
  • Suhu tubuh yang rendah
  • Kesukaran untuk kekal sedar
  • Pengsan/tidak sedar dan tidak dapat dibangunkan

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek alkohol boleh merangkumi sikap banyak bercakap, bertenang atau bersosial, tetapi juga boleh membuatkan seseorang berasa cemas atau agresif. Orang yang minum dengan terlalu banyak, mungkin mengalami masalah pertuturan yang tidak jelas, masalah koordinasi atau pitam, dan mungkin mengalami pengar pada keesokan harinya – masa reaksi yang perlahan, kesukaran untuk berjalan atau kekurangan kemahiran motor, tanggapan yang herot, inhibisi yang berkurangan, penilaian yang herot, muntah, koma, pitam, dan sedasi. Kesan jangka panjang pengambil alkohol termasuklah pengurangan testosteron/mati pucuk, penyakit hati, barah, atau ulser. Alkohol juga boleh menyebabkan kedutan, kulit kering, dan kesan kemerahan yang kekal pada muka.

Apakah lagi yang perlu saya ketahui? Tindakan mencampurkan alkohol dan dadah lain – seperti opioid, depresan preskripsi, kokain, methamphetamine, dan ketamine – boleh menjadi sangat berbahaya. Ini boleh memperlahankan kadar pernafasan seseorang, yang mengurangkan aliran oksigen dan mencetuskan otak agar mula menghentikan organ. Alkohol juga berkaitan dengan kecederaan dan kemalangan, terutamanya apabila diminum sebelum memandu. Memandu selepas minum arak adalah berbahaya, walaupun sedikit. Memandu ketika mabuk sedikit adalah sama bahaya seperti memandu ketika mabuk. Pemandu mabuk bertanggungjawab terhadap ratusan ribu kematian setiap tahun.

Apakah itu tembakau? Tembakau ialah sejenis tumbuhan yang daunnya dikeringkan dan digunakan untuk menghasilkan produk seperti rokok. Bahan kimia dalam tembakau yang boleh menghasilkan rasa seronok atau bertenaga itu dipanggil nikotin, dan bahan itu juga bersifat menagihkan. Terdapat pelbagai jenis tembakau:

  • Rokok merupakan daun tembakau yang digulung dalam kertas nipis, dan merupakan penggunaan tembakau yang paling lazim.
  • Cerut, cerut kecil dan cigarillo dibuat daripada tembakau dan dibalut dalam kertas perang atau daun tembakau sepenuhnya. Cerut kecil dan cigarillo sering berperisa.
  • Hookah (atau shisha, paip air) ialah tembakau berperisa yang dihisap menggunakan paip air.
  • Tembakau tanpa asap ialah sejenis tembakau yang tidak dihisap atau dibakar. Terdapat beberapa jenis tembakau tanpa asap seperti sentil tembakau, snuff, snus, dan tembakau boleh larut.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek termasuklah pengaktifan kawasan otak yang terlibat dalam menghasilkan rasa seronok. Nikotin juga boleh menyebabkan seseorang berasa bertenaga, pening, loya, terangsang atau bertenang. Nikotin juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah, pernafasan dan kadar denyut jantung yang memberikan rasa bertenaga. Tembakau juga boleh menyebabkan gigi dan kuku berwarna kuning, serta nafas, rambut dan pakaian berbau seperti asap. Nikotin ialah bahan kimia yang menagihkan, jadi penggunaan tembakau boleh membawa kepada penagihan bagi sesetengah orang. Kesan jangka panjang termasuklah penyakit paru-paru, beberapa jenis barah, penyakit jantung dan strok, serta peningkatan risiko kencing manis. Terdapat juga peningkatan risiko bronkitis kronik, katarak dan radang paru-paru.

Perbuatan merokok juga menghasilkan asap rokok sekunder, yang merupakan asap yang disedut apabila berada di sekitar seseorang yang merokok. Pendedahan kepada asap rokok sekunder boleh memudaratkan kesihatan mereka yang tidak merokok, serta haiwan peliharaan.

Apakah itu vap/ e-rokok? Vap dan e-rokok mempunyai banyak nama, termasuklah e-cig, pen vap, vaporizer, sistem penyampaian nikotin elektronik (ENDS), antara lainnya. Pengguna e-rokok menghisap aerosol yang dihasilkan melalui pemanasan cecair (dipanggil ‘e-jus’). Terdapat beratus-ratus produk e-rokok dan beribu-ribu e-jus yang berbeza. E-jus dalam e-rokok boleh terhasil daripada pelbagai bahan kimia, termasuklah bahan kimia nikotin yang menagihkan, yang datang daripada pokok tembakau. “Nikotin bebas tembakau” dihasilkan secara sintetik dan menyebabkan ketagihan sama seperti nikotin daripada pokok tembakau.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek penggunaan e-rokok termasuklah pengaktifan kawasan otak yang terlibat dalam menghasilkan rasa seronok, dan juga boleh menyebabkan seseorang berasa bertenaga, pening, loya, terangsang atau bertenang. Ini juga boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah, pernafasan dan kadar denyut jantung, dan pendedahan kepada bahan kimia yang dihasilkan dengan memanaskan lingkaran dalam peranti. Nikotin ialah bahan kimia yang menagihkan, jadi penggunaan e-rokok yang mengandungi nikotin boleh membawa kepada penagihan bagi sesetengah orang. Kesan jangka panjang penggunaan e-rokok atau pendedahan kepada e-rokok masih belum diketahui. Walau bagaimanapun, nikotin memberi kesan yang negatif terhadap pertumbuhan otak. Data memuncul juga mencadangkan perkaitan kepada penyakit paru-paru kronik dan lelah.

Apakah itu ganja? Ganja datang daripada bahagian pokok Kanabis yang dikeringkan. Ganja mempunyai pelbagai nama di jalanan. Ganja biasanya dihisap seperti rokok, dalam mangkuk atau bong, atau diambil sebagai makanan atau minuman. Ganja dibenarkan di sesetengah negara (dan banyak negeri di A.S.) di seluruh dunia sama ada bagi tujuan rekreasi (yang bermaksud sesiapa sahaja yang melepasi umur sah boleh mendapatkan ganja), atau bagi tujuan perubatan (yang bermaksud sesiapa sahaja yang melepasi umur sah boleh mendapatkan ganja, dengan preskripsi doktor). Di negara tertentu, dadah yang mengandungi cannabinoid (bahan yang terdapat dalam pokok kanabis) boleh dipreskripsikan kepada orang yang mempunyai masalah sawan yang unik, orang yang sedang menjalani rawatan kemoterapi barah, orang yang kehilangan selera makan akibat HIV/AIDS, dan orang yang mengalami kesakitan yang kronik.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek penggunaan ganja boleh merangkumi perubahan pada deria, perasaan tenang, mengantuk, perubahan mood, kehilangan kesakitan, peningkatan selera makan, dan kesukaran untuk berfikir atau menyelesaikan masalah. Kesan jangka panjang penggunaan ganja masih tidak diketahui dan sedang dikaji.

Apakah itu cannabinoid sintetik? Cannabinoid sintetik ialah bahan kimia buatan yang direka untuk bertindak seperti THC, bahan psikoaktif utama dalam ganja. Cannabinoid sintetik juga dipanggil ganja sintetik. Cannabinoid sintetik merupakan bahan kering yang kelihatan seperti potpourri, dan dihisap atau dimakan.

Apakah risikonya? Berbeza dengan ganja, terdapat kemungkinan untuk mengambil dos cannabinoid sintetik secara berlebihan. Cannabinoid sintetik kadangkala dicampur dengan dadah lain secara senyap-senyap, lalu meningkatkan risiko dos berlebihan.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek cannabinoid sintetik boleh merangkumi perasaan bertenang, pelupa, penat, atau lapar. Seseorang itu juga mungkin mengalami halusinasi, paranoia, atau serangan panik, kadar denyut jantung yang laju, muntah, fikiran yang terganggu, kebingungan, cemas, dan peningkatan tekanan darah. Kesan jangka panjang kanabinoid sintetik dari segi kesihatan fizikal adalah tidak diketahui.

Apakah itu depresan preskripsi? Depresan preskripsi ialah pil yang memperlahankan aktiviti otak dan menyebabkan rasa mengantuk. Depresan preskripsi juga dipanggil sebagai benzos, benzodiazepine, sedatif, atau ubat penenang. Orang mungkin mengambil depresan preskripsi untuk membantu dalam menangani masalah kebimbangan atau masalah tidur.

Apakah yang dirasai? Depresan preskripsi boleh membuatkan seseorang berasa mengantuk, bertenang, tenteram, tiada koordinasi, bingung, atau keliru. Simptom penarikan boleh merangkumi fikiran yang terganggu, cemas, insomnia, refleks yang terlebih aktif, menggigil, peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, halusinasi, ketagihan, dan juga sawan.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos depresan preskripsi yang berlebihan. Risiko dos depresan preskripsi yang berlebihan meningkat sekiranya diambil bersama dengan opioid atau alkohol, kerana opioid, alkohol dan depresan preskripsi semuanya memperlahankan pernafasan. Ubat yang dipanggil Flumazenil boleh digunakan untuk merawat kesan dos depresan preskripsi yang berlebihan. Hanya ambulans dan penggerak balas kecemasan mempunyai akses kepada ubat ini.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek depresan preskripsi boleh merangkumi pertuturan yang tidak jelas, penumpuan yang lemah, mulut yang kering, pernafasan yang perlahan dan masalah ingatan. Kesan jangka panjang pengambilan depresan preskripsi adalah tidak diketahui.

Apakah itu kokain? Kokain ialah dadah yang dibuat daripada pemprosesan daun pokok koka yang merupakan tumbuhan natif di Amerika Selatan. Kokain datang dalam bentuk serbuk berwarna putih atau hablur batu yang disedut, dihisap atau disuntik. Kokain dan kokain retak adalah hampir sama dari segi kimia. Perbezaan utamanya ialah cara dadah itu digunakan: kokain serbuk disedut, disuntik atau ditelan, manakala kokain retak itu dihisap.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos kokain yang berlebihan. Risiko berlakunya dos berlebihan meningkat jika kokain dicampurkan dengan dadah lain atau alkohol. Kokain juga kadangkala dicairkan atau dicampurkan dengan dadah lain secara senyap-senyap, lalu meningkatkan risiko dos berlebihan.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek penggunaan kokain boleh merangkumi perasaan cergas, cemas, teruja, gembira, panik, paranoid, dan terganggu fikiran, serta suhu tubuh dan kadar denyutan jantung yang tinggi. Orang yang menggunakan kokain juga boleh menunjukkan tingkah laku yang ganas atau tidak menentu, psikosis, serangan jantung, strok, sawan atau koma. Kesan jangka panjang penggunaan kokain boleh merangkumi perubahan pada otak, kehilangan deria bau, jangkitan, kesusutan berat badan, serta kerosakan jantung dan paru-paru.

Apakah itu methamphetamine? Methamphetamine (meth) ialah sejenis perangsang yang datang dalam bentuk serbuk berwarna putih atau pil, manakala “meth kristal” kelihatan seperti serpihan kaca atau batu yang bersinar-sinar.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos meth yang berlebihan. Sejak beberapa tahun kebelakangan, insiden dos berlebihan melibatkan meth telah meningkat. Risiko berlakunya dos berlebihan meningkat jika meth dicampurkan dengan dadah lain atau alkohol. Meth kadangkala dicairkan atau dicampurkan dengan dadah lain secara senyap-senyap, lalu meningkatkan risiko dos berlebihan.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek meth boleh merangkumi kepekaan, nyahsekatlakuan, perasaan sangat gembira, kesukaran untuk tidur, pengurangan selera makan, peningkatan kadar denyutan jantung, peningkatan tekanan darah, pening kepala dan loya. Bagi sesetengah orang, meth boleh membawa kepada ketagihan, terutamanya jika disuntik atau dihisap. Kesan jangka panjang meth boleh merangkumi tingkah laku yang ganas, rasa cemas, delusi, halusinasi, insomnia, pengurangan berat badan yang melampau, masalah gigi yang teruk, kebingungan, dan rasa gatal yang teruk.

Apakah itu perangsang preskripsi? Perangsang preskripsi ialah ubat yang digunakan untuk merawat kecelaruan hiperaktif defisit perhatian (ADHD), narkolepsi (tidur secara mengejut dan tidak terkawal), dan penyakit lelah.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos perangsang preskripsi yang berlebihan. Risiko meningkat jika diambil dengan alkohol.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek perangsang preskripsi boleh merangkumi tekanan darah dan kadar denyutan jantung yang tinggi, pembuluh darah yang menyempit, peningkatan gula dalam darah, dan pembukaan saluran pernafasan (yang membantu pesakit lelah). Perangsang preskripsi boleh menyebabkan seseorang berasa cergas, teruja, bertenaga, terganggu fikiran atau agresif. Pada dos yang tinggi, perangsang preskripsi boleh membawa kepada peningkatan suhu tubuh yang berbahaya dan kadar denyutan jantung yang tidak sekata, serangan jantung dan sawan. Kesan jangka panjang merangkumi paranoia, psikosis, kemarahan dan masalah jantung.

Apakah itu MDMA? MDMA juga dipanggil sebagai molly atau ecstasy.Dadah ini datang dalam bentuk serbuk atau pil yang boleh dihasilkan dalam pelbagai bentuk dan warna.

Apakah risikonya? Insiden kematian akibat dos MDMA asli secara berlebihan adalah jarang berlaku. Namun risiko itu meningkat apabila MDMA dicampurkan dengan dadah lain.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek MDMA boleh merangkumi pengurangan kesekatlakukan, persepsi deria yang ditingkatkan, peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, rasa loya, pengsan, perpeluhan atau seram sejuk, dan peningkatan suhu tubuh yang mendadak. Kesan jangka panjang tidak diketahui tetapi mungkin melibatkan pembelajaran dan ingatan.

Apakah itu psikedelik? Psikedelik sering dipanggil sebagai halusinogen. Terdapat banyak jenis psikedelik. Ini termasuklah dadah buatan seperti LSD dan PCP, psilosibin yang ditemukan dalam jenis cendawan yang tertentu, atau DMT (atau ayahuasca) dan peyote (atau meskalina) yang ditemukan dalam tumbuhan tertentu atau dihasilkan dalam makmal. Di sesetengah tempat di dunia, psikedelik digunakan sebagai sebahagian daripada terapi, dan seringkali untuk keadaan kesihatan mental seperti PTSD. Dalam sesetengah budaya orang Asli, psikedelik seperti ayahuasca dan meskalina digunakan sebagai sebahagian daripada upacara keagamaan.

Apakah risikonya? Insiden dos psikedelik asli yang berlebihan adalah sukar untuk berlaku, tetapi risiko itu meningkat apabila psikedelik dicampurkan dengan dadah lain.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek boleh merangkumi perubahan emosi, menyebabkan seseorang itu mengalami rasa sensasi atau mimpi, dan boleh menyebabkan rasa euforia, bertenaga, atau cemas, menyebabkan kesukaran untuk berfikir secara logik, berkomunikasi dengan orang lain atau mengenal pasti realiti, meningkatkan tekanan darah dan kadar denyutan jantung, pening kepala, dan kehilangan selera makan. Kesan jangka panjang daripada psikedelik jarang berlaku, tetapi boleh merangkumi paranoia, perubahan mood, atau halusinasi visual yang menakutkan.

Apakah itu ketamine? Ketamine ialah dadah buatan yang digunakan oleh penyedia perubatan dan doktor veterinar sebagai anestetik atau untuk pengurangan kesakitan.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos ketamine yang berlebihan. Risiko berlakunya dos berlebihan meningkat jika ketamine dicampurkan dengan dadah lain atau alkohol.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek ketamine boleh merangkumi masalah seperti penumpuan, pembelajaran, dan ingatan, boleh menyebabkan seseorang berasa gembira, terasing, cemas, atau bingung, menyebabkan halusinasi, sedasi atau tidak sedar/tidak responsif, keliru, peningkatan tekanan darah, dan pernafasan yang perlahan pada tahap berbahaya. Kesan jangka panjang ketamine boleh merangkumi kemurungan, masalah ingatan, ulser, sakit perut atau pundi, dan masalah buah pinggang.

Apakah itu inhalan? Inhalan ialah jenis bahan yang diambil dengan menyedut atau menghisap. Inhalan merangkumi pelbagai produk, seperti cat sembur, pen penanda, gam dan cecair pencuci. Nitrus oksida (atau nitrus, whippet, whip-it) ialah sejenis inhalan. Bagi kebanyakan inhalan, kesan memabukkan akan hilang selepas beberapa minit.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos inhalan yang berlebihan. Oleh sebab inhalan juga boleh merupakan bahan kimia yang sangat pekat, terdapat kemungkinan untuk mati daripada satu kali penggunaan inhalan, yang dipanggil “kematian mengejut akibat penghiduan”.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek inhalan boleh merangkumi kebingungan, rasa loya dan pening kepala, pertuturan yang tidak jelas, euforia, rasa mabuk, kegembiraan, masalah koordinasi, mengantuk, pening, halusinasi atau delusi, sakit kepala, kegagalan jantung, sawan, koma, atau kematian akibat lemas. Kesan jangka panjang inhalan boleh merangkumi kerosakan hati, buah pinggang, dan sumsum tulang, kerosakan saraf, dan kerosakan otak yang boleh menyebabkan masalah berfikir, pergerakan, penglihatan dan pendengaran.

Apakah itu ubat belian kaunter? Ubat belian kaunter dapat membantu dalam mengurangkan demam, kesakitan, cirit-birit, atau alahan. Sesetengah ubat belian kaunter boleh menghasilkan kesan psikoaktif juga disalahgunakan – seperti ubat alahan yang mengandungi dipenhydramine, ubat batuk yang mengandungi dekstrometorfan/DXM (ubat itu sering mempunyai “DM” pada namanya), atau ubat cirit-birit yang mengandungi loperamide.

Apakah risikonya? Terdapat kemungkinan berlakunya dos ubat belian kaunter yang berlebihan. Naloxone boleh digunakan untuk membantu seseorang yang mengalami insiden dos ubat batuk yang mengandungi DXM secara berlebihan.

Apakah kesan jangka pendek dan jangka panjang? Kesan jangka pendek penggunaan ubat belian kaunter boleh merangkumi halusinasi, euforia, peningkatan tenaga, keresahan, pertuturan yang tidak jelas, peningkatan kadar denyutan jantung dan tekanan darah, masalah jantung, sawan, pening kepala, loya atau muntah. Kesan jangka panjang penggunaan ubat belian kaunter adalah tidak diketahui.

Berkongsi pengalaman anda di TikTok

TikTok boleh menjadi platform yang bagus untuk anda memberi inspirasi dan mendidik komuniti dengan berkongsi pengalaman anda tentang kesan penggunaan bahan ke atas diri anda. Kisah anda mungkin dapat membantu orang lain. TikTok didukung oleh ahli komunitinya. Kita semua memainkan peranan dalam mewujudkan persekitaran yang selamat dan positif.

Akan tetapi perkongsian kisah anda itu merupakan keputusan anda sendiri. Jika anda memutuskan untuk berkongsi kisah anda, berhati-hatilah dengan kandungan yang anda kongsi kerana perkara itu mungkin memberi kesan kepada orang lain. Orang lain mungkin akan bertanyakan soalan atau berkongsi pengalaman mereka pula selepas mendengar kisah anda. Kami juga telah membangunkan panduan kesejahteraan yang lebih umum jika anda ingin membaca tentang perkongsian mana-mana kisah yang anda ada berkenaan kesihatan mental.

Sebelum berkongsi pengalaman anda berkenaan penggunaan bahan di TikTok, tanya diri anda terlebih dahulu:

  • Siapakah audiens sasaran bagi kisah anda? Adakah anda ingin berkongsi kisah dengan teman rapat dan keluarga sahaja, atau dengan audiens yang lebih luas?
  • Apakah tujuan perkongsian anda? Adakah untuk membantu diri anda atau orang lain?
  • Adakah perkongsian kisah anda dapat membantu diri anda atau orang lain? Adakah perkongsian itu nanti memudaratkan?
  • Jika kisah anda adalah tentang penggunaan bahan oleh orang lain, apakah perasaan orang itu apabila melihat siaran anda nanti? Adakah orang itu memberikan kebenaran kepada anda untuk berkongsi kisah tentang dirinya?
  • Bagaimanakah tindak balas anda kepada respons?? Sebagai respons kepada siaran anda, orang lain mungkin akan berkongsi kisah yang rumit sebagai balasan atau berkongsi pandangan yang mungkin sukar untuk didengar.

Selepas anda bertanyakan soalan ini kepada diri anda dan memutuskan untuk berkongsi kisah anda, berikut ialah beberapa cadangan untuk siaran anda:

  • Jika siaran anda adalah tentang pemulihan, gunakan tanda pagar berorientasikan pemulihan untuk menyertai perbualan TikTok yang sedang berlangsung (contohnya #recoverytok, #addictionawareness, #quitsmoking, #fentanylawareness).
  • Dalam kisah anda, jangan dedahkan atau sebarkan khabar angin tentang pengalaman orang lain dengan penggunaan bahan, rawatan atau pemulihan. Jangan merujuk kepada orang lain, melainkan orang itu memberikan kebenaran kepada anda untuk membuat perkongsian.
  • Galakkan orang agar mendapatkan bantuan, dan pertimbangkan untuk memasukkan talian bantuan setempat dalam video dan kapsyen anda.
  • Orang mungkin mempunyai pengalaman yang berbeza, jadi elakkan perbandingan antara pengalaman anda dengan orang lain. Jika orang membalas kisah anda, cuba tangani dengan bertimbang rasa dan tunjukkan empati.

Bagaimanakah cara untuk saya berinteraksi dengan komuniti RecoveryTok?

Kami telah melihat penggunaan tanda pagar dalam kalangan komuniti kami, seperti #recoverytok, #sobertok, #addictionawareness, #sobercurious serta #sobernative, #blackandsober, #soberlatina, #sobergay, #soberlesbian, dan #transandsober yang menawarkan hab untuk perbualan, pembelajaran dan galakan.

Jika anda mencari komuniti yang dapat membantu untuk anda berkongsi pengalaman pemulihan anda, berhubung dengan ahli komuniti lain yang mempunyai pengalaman yang serupa atau sekadar ingin menonton TikTok tertentu, tanda pagar tersebut merupakan langkah permulaan yang baik.

Walaupun kami memilih untuk tidak menggunakan perkataan tertentu seperti “tidak mabuk” (kerana sesetengah orang mungkin menyifatkan itu sebagai suatu stigma), di TikTok, kami menyokong tindakan pengguna mengenal pasti identiti mereka sebagaimana yang mereka suka. Kami menggalakkan orang agar menemui komuniti berdasarkan identiti yang mereka tentukan sendiri.

Rasa tertekan untuk mencuba dadah, alkohol atau tembakau?

Kawan, rakan sekelas, rakan sekerja dan sebagainya merupakan perkara yang penting dalam kehidupan kita. Akan tetapi ada kalanya mereka mungkin menggalakkan atau mempengaruhi anda untuk melakukan sesuatu yang anda tidak suka seperti menggunakan bahan tertentu atau dengan cara yang berisiko. Perkara ini boleh berlaku secara bersemuka atau dalam talian, dan kadangkala amat sukar untuk ditolak. Berikut ialah beberapa perkara yang perlu diingat yang mungkin dapat membantu:

  • Ingatlah bahawa anda tidak bersendirian. Mungkin anda fikir semua orang mengambil dadah, tetapi sebenarnya kebanyakan orang tidak begitu.
  • Buat persediaan. Ketahui cara memberikan respons jika seseorang menawarkan dadah, tembakau atau alkohol kepada anda.
  • Cari seseorang yang anda percayai – ini mungkin ibu atau bapa, saudara kandung atau rakan. Orang yang anda percayai dapat mendengar dan membantu anda mencari cara untuk menangani situasi yang dialami.
  • Cuba katakan ‘tidak’ dengan tegas dan jelas, tanpa berasa risau tentang apa-apa. Jika mereka cuba untuk memujuk, tetapkan pendirian anda.
  • Beri perhatian kepada perasaan anda. Jika sesuatu situasi itu berasa seperti tidak kena, barangkali benar begitu – walaupun rakan anda kelihatan tiada masalah dengan perkara tersebut.
  • Jika anda berasa sukar apabila dikelilingi orang tertentu, jauhkan diri anda. Mungkin sudah tiba masanya untuk anda mencari rakan baharu.

Jika anda mempunyai pertanyaan tentang jenis dadah yang berbeza, lihat bahagian lain pada halaman ini atau lawati Talk to Frank untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Sumber & Talian Krisis

Ingin bercakap dengan seseorang? Bantuan ada disediakan untuk mereka yang memerlukan. Jika anda berminat untuk mendapatkan sumber bagi diri anda atau orang tersayang, berikut merupakan beberapa alat carian berguna untuk mendapatkan pilihan setempat bagi rawatan, bantuan dan pemulihan di kawasan anda:

Cara melaporkan kandungan TikTok yang membimbangkan

Sebagai sebahagian daripada komuniti TikTok yang meluas, anda juga perlu berusaha memastikan ahli komuniti yang lain berasa selamat dan dibantu. Kami menggalakkan anda agar memaklumkan kepada kami jika anda berasa bimbang terhadap orang lain pada platform ini, atau katakan sesuatu jika anda melihat sesuatu yang anda fikir tidak patut berada di TikTok.

Untuk memastikan komuniti kita kekal selamat dan positif, kami menggalakkan komuniti kita agar melaporkan kandungan yang melanggar Garis Panduan Komuniti kita. Semua pelaporan adalah bersifat awanama, yang bermaksud pemuat naik asal tidak akan mengetahui identiti anda jika anda memutuskan untuk melaporkan sesuatu kandungan!

Cara melaporkan video secara awanama:

Jika anda melihat sesuatu video di TikTok yang anda percaya telah melanggar Garis Panduan Komuniti kita, sila laporkan kepada kami.

Untuk melaporkan video dalam aplikasi TikTok anda:

  1. Pergi ke video yang perlu anda laporkan.
  2. Tekan dan tahan pada video tersebut.
  3. Pilih Laporkan, ketik pada ‘Aktiviti haram dan barangan terkawal‘ kemudian serahkan laporan di bawah ‘Dadah dan bahan terkawal‘.
  4. Anda juga boleh menggunakan borang dalam talian kami untuk melaporkan kandungan di TikTok

Perkara yang berlaku selepas anda melaporkan sesuatu kandungan:

  • Kami menggunakan gandingan penyederhanaan manusia dan mesin untuk menyemak kandungan tersebut bagi pelanggaran Garis Panduan Komuniti, dan mengambil tindakan yang sewajarnya.
  • Kami akan memaklumkan kepada anda tentang status dan kemajuan laporan anda dalam Peti Masuk anda.

Kepada ibu bapa dan pengasuh: Cara untuk bercakap dengan kanak-kanak tentang penggunaan bahan

Ibu bapa dan pengasuh merupakan pengaruh yang penting dalam kehidupan kanak-kanak, dan mereka memainkan peranan yang besar dalam pengalaman kanak-kanak dengan penggunaan bahan. Namun, kadangkala agar sukar untuk bercakap tentang perkara ini dengan kanak-kanak. Berikut ialah beberapa petua untuk bercakap dengan kanak-kanak tentang penggunaan bahan.

  • Kanak-kanak kadangkala mencuba sesuatu bahan apabila ditawarkan oleh rakan mereka. Jika ada rakan mereka yang datang ke rumah, perkenalkan diri anda.
  • Galakkan mereka agar melibatkan diri dalam aktiviti yang mereka suka dan minati, dan dapatkan maklum balas daripada guru, jurulatih atau pembimbing mereka untuk mengetahui perkembangan mereka.
  • Berikan bantuan dan galakan kepada anak anda.
  • Elakkan daripada bersyarah dengan panjang lebar. Dapatkan pandangan yang jujur daripada mereka dan amalkan sikap yang terbuka. Tunjukkan bahawa anda memahami kesukaran yang mereka hadapi pada usia mereka, dan kesediaan anda untuk sentiasa menghulurkan bantuan.
  • Fikirkan tentang cara anda akan bertindak balas jika ditanya tentang pengalaman anda sendiri berhubung penggunaan bahan. Jika anda pernah menggunakan bahan pada masa lalu, anda boleh berkongsi pengajaran yang diperoleh daripada pengalaman anda itu.
  • Terdapat banyak sumber untuk membantu anda bercakap tentang penggunaan bahan. Partnership to End Addiction mempunyai tajuk perbincangan yang disesuaikan untuk pelbagai kumpulan umur, dan tajuk perbincangan untuk komunikasi dengan golongan remaja.
  • Wujudkan peraturan dan akibat – tetapi tawarkan juga penyelesaian kepada mereka. Misalnya, anda boleh menerangkan bahawa mereka tidak boleh sekali-kali menaiki kereta yang dipandu oleh seseorang yang baru meminum arak. Namun jika mereka berada dalam situasi yang memerlukan seseorang menghantar mereka pulang, mereka boleh menghubungi anda dan meminta bantuan – tiada masalah.
  • Awasi aktiviti dan lokasi anak anda.
  • Jika anda menyimpan ubat preskripsi atau ubat belian kaunter di rumah, pastikan ubat tersebut berada di bawah kawalan anda.

Penafian

Sumber dan panduan pusat keselamatan TikTok tidak menyediakan perkhidmatan kesihatan mental atau perubatan. “Sumber Bantuan Berhubung Penggunaan Bahan” di TikTok bukan pengganti untuk diagnosis, rawatan atau nasihat perubatan, psikologi atau psikiatri. Kandungan yang diterbitkan dan diedarkan oleh TikTok adalah bagi tujuan maklumat dan pendidikan sahaja. Jangan mengabaikan atau melambat-lambatkan usaha mendapatkan nasihat profesional disebabkan oleh ketersediaan perkhidmatan atau bahan pendidikan yang ditawarkan oleh TikTok.

Jika anda mengalami krisis atau sekiranya anda atau mana-mana orang lain berada dalam bahaya atau mengalami kecemasan perubatan, hubungi sumber kecemasan setempat anda dengan serta-merta. Pengguna hendaklah sentiasa beringat bahawa tanggungjawab ke atas keselamatan orang lain bukanlah dipikul oleh anda sahaja; orang lain juga bersedia untuk membantu. Anda tidak perlu terlibat dalam perbualan ini jika anda belum bersedia untuk berbuat demikian.

Pusat keselamatan ini telah dibangunkan dengan perundingan pakar daripada The Public Good Projects. Ribuan terima kasih kepada Song for Charlie, We Are With You, Talk to Frank, dan Truth Initiative kerana membantu dalam penghasilan sumber ini.