Skip to main content
Topik

Kebajikan Haiwan

Di TikTok, kami sedang membina sebuah komuniti global di mana orang boleh mencipta, menerokai dunia di sekeliling mereka dan berhubung dengan orang lain di seluruh dunia. Kami komited untuk mengekalkan persekitaran sokongan untuk komuniti kami yang sedang berkembang. Sokongan ini termasuklah menyediakan ruang untuk pemilik haiwan peliharaan dan pencinta haiwan berkongsi dan menikmati kandungan yang berkaitan dengan haiwan.

Kami tidak membenarkan sebarang kandungan yang menggalakkan, mengagungkan atau menormalkan keganasan terhadap haiwan atau penderitaan haiwan. Untuk membantu bagi memastikan TikTok kekal sebagai tempat yang selamat dan menyeronokkan untuk semua orang, kami menggunakan gabungan teknologi dan pasukan moderator untuk mengenal pasti, menyemak dan mengambil tindakan terhadap kandungan atau akaun yang mengandungi atau yang menggalakkan penderaan atau penganiayaan haiwan. Kami kekal komited untuk sentiasa meningkatkan usaha kami untuk mencegah dan mengeluarkan sebarang kandungan berkaitan haiwan yang melanggar dasar kami.

Apakah itu penderaan haiwan?

Penderaan haiwan melibatkan kecederaan fizikal atau psikologi atau bahaya kepada haiwan. Tindakan ini termasuk menggunakan kekerasan terhadap haiwan yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal, penafian makanan asas, air, penjagaan kebersihan atau keperluan perubatan haiwan tersebut, mencederakan atau menyebabkan haiwan menderita untuk hiburan, dan melakukan perbuatan yang kejam atau tidak berperikemanusiaan.

Bagaimanakah untuk mengenal pasti penderaan haiwan?

Titik permulaannya adalah menghindari tindakan atau berkelakuan dengan cara yang boleh menyebabkan tekanan atau bahaya kepada haiwan. Berikut ialah beberapa petanda penderaan haiwan yang harus anda peka (tidak lengkap):

  • Gambaran serangan dan/atau keganasan terhadap haiwan seperti menyepak atau memukul haiwan
  • Menjerit dan menyebabkan haiwan sentiasa mengalami tekanan pendengaran
  • Pemberian makanan dengan tidak wajar yang mungkin membahayakan atau menyebabkan keracunan kepada haiwan tersebut
  • Mengadakan atau memaksa haiwan berlawan, iaitu haiwan tersebut dilatih atau dipaksa untuk menyerang satu sama lain dalam pertarungan yang ganas dengan risiko kecederaan yang teruk atau kematian
  • Ketiadaan penjagaan kebersihan wajar yang memberi kesan kepada kesihatan dan kesejahteraan haiwan
  • Ketiadaan penjagaan perubatan yang wajar apabila terdapat bukti kecerderaan (contohnya, Tempang, darah atau ekor patah)

Anda juga boleh melakukan perubahan

Terdapat banyak cara untuk kita melakukan perubahan bagi meraikan dan menjaga haiwan. Berikut ialah beberapa cara untuk dipertimbangkan, jika bersesuaian dan wajar untuk berbuat sedemikian:

  • Jika anda pemilik haiwan peliharaan, jadilah bertanggungjawab dan berbuat baik. Buat pengaturan untuk penjagaan haiwan peliharaan anda sebelum meninggalkan haiwan tersebut sendirian. Tambahan pula, sediakan lebih daripada keperluan asas bagi haiwan peliharaan anda dengan memberikan pengalaman yang positif untuk meningkatkan kesejahteraan haiwan tersebut.
  • Ajar kanak-kanak menyantuni haiwan. Tunjukkan contoh yang baik dengan memelihara haiwan dengan penuh kasih dan pertimbangan, berkongsi dengan mereka cara untuk berinteraksi dengan haiwan dan menggalakkan mereka menjadi penyokong kebajikan haiwan apabila mereka besar nanti.
  • Pertimbangkan untuk berkongsi kandungan pendidikan bukan grafik yang boleh meningkatkan kesedaran tentang penderaan dan kebajikan haiwan dengan cara yang wajar. Tindakan sedemikian boleh meningkatkan kesedaran tentang kepentingan campur tangan apabila haiwan diabaikan atau diseksa.
  • Pertimbangkan jika anda boleh membantu orang yang dibebani dengan penjagaan haiwan mereka. Pengabaian haiwan boleh terjadi atas pelbagai sebab. Contohnya, pemilik mungkin tidak mempunyai sumber psikologi atau kewangan untuk memberi haiwan penjagaan yang wajar. Bantuan anda boleh membawa perubahan dengan membantu haiwan peliharaan tersebut menerima penjagaan yang diperlukan dan dengan membantu haiwan tersebut, anda juga mungkin membantu orang lain.
  • Berikan sumbangan dalam bentuk kewangan atau luangkan masa anda di pusat penjagaan dan organisasi haiwan untuk menyokong kerja penting mereka.

Sumber yang Bermanfaat

Jika anda ternampak contoh penderaan haiwan di platform TikTok, kami menggalakkan anda agar melaporkan kandungan tersebut dengan menekan lama pada kandungan, klik “Laporkan” dan memilih sebab yang berkaitan atau melalui borang dalam talian kami. Berikut ialah beberapa contoh organisasi yang boleh anda hubungi untuk mengetahui lebih lanjut tentang penderaan haiwan.

Penafian

Panduan ini disediakan untuk memberi maklumat berbentuk pengetahuan kepada pengguna. Kami tidak memperoleh keuntungan dengan menyediakan maklumat sedemikian dan maklumat tersebut tidak disediakan secara langsung daripada hasil kerjasama atau kaitan dengan organisasi luaran yang tersenarai.